Tahukah anda bahawa rasa ghairah, orgasma dan kepuasan yang tercapai setiap kali melakukan hubungan kelamin banyak dipengaruhi oleh situasi serta keadaan persekitaran? Lebih-lebih lagi tempat pasangan itu melakukan hubungan tersebut.

Apabila berbicara tentang tempat, banyak aspek perlu diperhatikan. Antaranya ialah aspek Feng Shui. Bangsa Cina sangat menitikberatkan soal Feng Shui ini dalam setiap aktiviti yang mereka lakukan. Hal ini termasuklah ketika melakukan hubungan seksual.

Akan tetapi sebelum anda berhasrat untuk menyelesaikan masalah hubungan seksual yang dihadapi menggunakan cara Feng Shui, anda mestilah benar-benar faham dan tahu tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Feng Shui itu sendiri.

Bagi bangsa Cina, Feng Shui ialah angin dan air. Lazimnya, Feng Shui ini dijadikan panduan untuk mendapatkan kehidupan yang ideal dan sempurna. Feng Shui bagi hubungan suami isteri lebih menjurus kepada bagaimana untuk menentukan komposisi yang paling sesuai untuk pasangan tersebut melakukan hubungan kelamin. Dalam hal ini, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah pertemuan elemen-elemen utama yang mempengaruhi diri anda secara peribadi.

Untuk pengetahuan, ada lima elemen dalam Feng Shui yang perlu anda pertimbangkan. Elemen itu ialah Cing (logam), Mu (kayu), Shui (air), Huo (api) dan Thu (tanah). Dengan mengetahui elemen diri sendiri, anda akan dapat menentukan reka bentuk hiasan dalaman bilik yang sesuai untuk merangsang seterusnya menyemarakkan lagi hubungan intim anda berdua.

Selain itu, anda perlu tahu elemen pasangan. Dengan cara ini, anda berdua akan dapat menjadikannya sebagai panduan yang benar-benar tepat untuk mencapai kepuasan maksimum sewaktu melakukan hubungan seksual tersebut.

Untuk pengetahuan, setiap tahun kelahiran mempunyai elemen Feng Shui yang berbeza. Jika anda dan pasangan tahu apa elemen masing-masing, mudahlah untuk anda berdua menerapkannya dalam setiap hubungan seksual yang dilakukan.

Unsur Logam
Sekiranya anda berada di bawah pengaruh logam, anda dikatakan memiliki kekuatan tenaga erotik yang tinggi. Anda juga sesuai untuk bertindak sebagai peneraju hubungan seksual yang dilakukan. Oleh itu, posisi yang paling selesa untuk anda ialah berada di atas agar anda dapat menakluki si dia. Rasa ghairah anda juga mudah melonjak setiap kali dia memerhatikan anda.

Rangsangan Feng Shui :
Untuk mencipta tenaga fizik yang tinggi, anda perlulah meletakkan satu mangkuk kaca berwarna gelap (biru) di sebelah timur bilik tidur. Isikan mangkuk itu dengan air dan taburkan serbuk berkilau ke dalamnya. Kombinasi ini akan membolehkan anda mempunyai banyak tenaga untuk mencuba pelbagai posisi seksual tanpa rasa penat.

Lampu berbentuk seperti mulut gunung dengan mentol bulat di tengah-tengahnya jika diletakkan di selatan sudut bilik akan menyeimbangkan kadar adrenalina yang mengalir di dalam badan anda dan pasangan. Ini bermakna, ketika itu bukan hanya anda
yang bersemangat bahkan pasangan juga.

Unsur Kayu
Individu yang berada di dalam naungan unsur kayu ini merupakan individu yang dianggap sempurna terutamanya di tempat tidur. Mereka ini juga dikatakan gemar melakukan eksperimen. Oleh itu, mereka akan sentiasa bekerja keras untuk mengembangkan pelbagai teknik agar hubungan kelamin yang dilakukan jadi lebih sempurna.

Kebiasaannya pasangan daripada unsur kayu akan menuntut pasangannya menjaga tubuh agar sentiasa ideal dan sempurna. Mereka secara suka rela akan mengikut keinginan pasangan mencuba pelbagai posisi yang ditawarkan. Untuk membakar rasa ghairah itu, unsur kayu memerlukan masa yang agak lama. Namun begitu, individu di bawah unsur kayu ini mudah mencapai orgasma.

Rangsangan Feng Shui:
Orang yang mempunyai unsur kayu menggemari gaya bercinta secara sentimental. Oleh itu, jalan penyelesaian secara Feng Shuinya ialah anda perlu menempatkan mangkuk yang diperbuat daripada kayu berwarna hitam ataupun mangkuk daripada kaca berwarna ungu di sudut barat bilik tidur. Mangkuk ini dikatakan berfungsi untuk merangsang rasa ghairah anda. Untuk mendapatkan multi orgasma, letakkan lima batang lilin merah di tempat yang diperbuatkan daripada kaca di sudut selatan bilik. Susunan seperti ini akan membantu anda mencapai klimaks berkali-kali.

Unsur Air
Anda adalah seorang yang sangat romantis. Setiap percintaan seakan peristiwa penting yang anda ingin kecapi hingga ke akhir hayat. Orang air tidak suka tergopoh-gapah dalam bercinta. Bagi mereka rangsangan harus melalui satu proses yang panjang. Mereka berpendapat kenikmatan hubungan seks bergantung kepada proses hubungan itu sendiri.

Rangsangan Feng Shui :
Untuk meningkatkan ghairah seks, nyalakan tiga batang lilin biru di depan kaca pada bahagian utara sudut bilik anda. Kemudian, hamparkan kain dengan sulaman emas di atas tilam. Dipercayai kononnya pantulan helaian benang emas akan memperkayakan fantasi seksual anda.

Unsur Api
Anda yang berada di bawah naungan unsur api adalah merupakan seorang yang berani dan sering bertindak spontan. Fantasi seksual orang api ini kadang-kala sangat liar. Tidak wujud perkataan tidak mungkin dalam kamus hidup mereka ini. Kesimpulannya, orang api ini memang luar biasa.

Rangsangan Feng Shui :
Bagi mereka ini, ghairah seksual boleh dibangkitkan dengan hanya melihat gambar-gambar sensasi. Cara termudah adalah dengan memasang cermin besar di lelangit bilik tidur agar anda dapat memandang gaya anda berdua di bilik tidur. Dalam masa yang sama pantulan cermin akan meningkatkan lagi tenaga seksual anda.

Unsur Tanah
Orang berunsurkan tanah ini adalah orang yang sangat sensual. Untuk membangkitkan rasa ghairah, mereka memerlukan tenaga yang banyak dan masa yang cukup lama. Sentuhan tubuh, pendekatan secara emosional sangat penting bagi mereka untuk mencapai orgasma. Itulah sebabnya mereka yang berunsurkan tanah ini sangat sukakan sentuhan lembut. Suasana bilik yang nyaman, ditambah dengan kehadiran kain-kain lembut dan indah seperti sutera akan meningkatkan tenaganya.

Rangsangan Feng Shui:
Letakkan gelas kaca yang diisi dengan batu-batu indah atau kristal di sudut selatan bilik tidur anda. Gunanya adalah untuk mengungkap sifat sensual anda. Untuk meningkatkan sensitiviti, letakkan bantal bersarung sutera dengan warna-warna garang seperti merah dan ungu di tempat tidur ataupun di lantai. Semua ini akan meningkatkan tenaga seksual anda. Biarpun lambat tapi hasilnya pasti memuaskan.